Mengenai kami

Foto saya
Jawatankuasa Guru Prasekolah ini adalah cetusan idea Pegawai Khas Akademik Prasekolah Kuala Kangsar pada tahun 2008. Rasional penubuhan jawatankuasa adalah untuk membantu, memberi pandangan serta mengadakan program yang berkaitan dengan prasekolah daerah Kuala Kangsar. Sejak penubuhan jawatankuasa ini, pelbagai program telah dirancang dan dilaksanakan. Inisiatif penubuhan jawatankuasa ini telah memberi impak yang positif terhadap perkembangan prasekolah di daerah Kuala Kangsar. Blog ini adalah milik Jawatankuasa Guru Prasekolah yang dibangunkan pada tahun 2008. Blog ini dikawal dan dibiayai oleh Biro ICT Jawatankuasa Guru Prasekolah.

16 Mei 2010

Selamat Hari Guru 2010

Jawatankuasa Guru Prasekolah Kuala Kangsar mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru di Malaysia. Semoga lebih gigih dalam mendidik anak bangsa.

Puisi Guru Oh Guru – Usman Awang

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Tiada ulasan:

Catat Ulasan